Di dunia, mereka dipandang sebelah mata, dipandang sinis, bersama prasangka buruk tanpa asas, bahkan dalam banyak keadaan tidak dipandang pun – itulah orang miskin.
Mereka yang kita pandang sebagai mereka kadang-kadang bukan orang lain pun, barangkali mereka yang kita berasa terjauh itu adalah ahli keluarga kita, sanak-saudara, kaum kerabat atau kawan sepermainan kita suatu ketika dulu.
Waktu usia kanak-kanak, kita tidak membezakan antara miskin atau berharta, kita berkawan sesiapa saja tak kira daripada keluarga senang atau susah, kerana jiwa kita ketika itu masih bersih, akal kita masih hijau.
Tetapi apabila sudah agak dewasa, kerjaya makin meningkat, pendapatan mencanak-canak, jiwa kian berdebu, tak pernah disapu apatah lagi dibasuh dengan siraman iman, makin lama debu berubah jadi ‘hama’ yang sukar dicari untuk ditepis.
Apa-apa pun, miskin atau berharta tidak dibezakan di sisi Tuhan, dalam erti kata yang miskin tidaklah dikurangkan pandangannya, manakala yang berharta tidak pula dilebihkan pandangannya. Neracanya adil berdasarkan iman dan amalan, bersama ikhlas yang sejati. Berharta tapi lupa Dia, dicerca dan menghadapi akibat yang buruk. Miskin tapi ingat Dia, sangat disayangi oleh-Nya.
Dalam Tanbihul Ghafilin, ada disebutkan, orang fakir miskin akan mendapat lima kemuliaan:
- Pahala amalannya lebih daripada pahala amalan orang kaya dalam solat, sedekah dan lain-lain.
- Jika mahu sesuatu dan tidak tercapai, dicatat baginya pahala.
- Mereka lebih dahulu masuk syurga.
- Hisab (hitungan) mereka di akhirat lebih ringan.
- Penyesalan mereka sangat kurang, sedangkan orang kaya ingin seperti orang fakir di akhirat manakala orang fakir tidak ingin seperti orang kaya.

