Buat baiklah kepada ibu bapa, berdoalah untuk mereka

Seorang anak harus berterima kasih kepada orang tuanya, kedua-duanya – ibu dan bapa – kerana dilahirkan, dibesarkan, diberi makan minum, pakaian dan keselesaan.

Malah anak diberikan tunjuk ajar, walaupun sesetengah ibu bapa tidaklah tahu membaca menulis – mereka tetap berusaha mengajar anak mengikut cara dan kebolehan mereka ada, hanya kerana ingin melihat anaknya pandai, pintar dan menjadi orang baik-baik.

Apabila menginjak usia persekolahan, ibu bapa juga menghantar dan mengambil anak ke sekolah, sesetengahnya, terutama pada umur masih kecil – betapa sayangnya mereka kepada anak.

Waktu, susah senang, wang ringgit tidak berkira – itulah ibu bapa – namun mengapa anak apabila makin dewasa, makin kenal manisnya dunia, makin panjang langkahnya sangat-sangat berkira dengan ibu bapa – yang tidak kena dilakukan ibu walaupun sedikit dijadikan sebab untuk bermasam muka, berbalah, bahkan sampai membenci dan memulaukan mereka.

Anak mungkin sudah lupa atau memang tidak pernah ingat dan tidak ingin pun untuk cuba mengingati, yang dia suatu ketika dulu, bermacam-macam hal buruk dilakukan.

Tetapi ibu bapa menghadapinya tanpa banyak soal. Malam menangis, kadang-kadang ibu bapa bahkan ada yang selalu tidak nyenyak tidur dan apabila besar sikit, dah ada kawan terjebak dalam perkara tidak patut, tapi ibu bapalah yang menutup tingkah laku buruk anak, agar anak itu tidak mendapat malu, dengan alasan ‘nakal budak-budak biasalah’ bersama harapan agar berubah jadi baik, seperti yang baik-baik.

Begitulah secebis yang dapat digambarkan mengenai kemuliaan ibu bapa terhadap anaknya. Tapi anak?

Justeru, berikut adalah 10 hak yang harus dilaksanakan oleh seorang anak terhadap orang tuanya:

1. Jika orang tua berhajat atau berkehendak kepada makan, harus diberi makan.

Ini memang patut pun – takkanlah anak makan, ibu bapa lapar – itu namanya anak durjana.

2. Jika ibu bapa berhajat kepada pakaian, harus diberi pakaian.

    Ini kadang-kadang lupa. Ada kelapangan kewangan, belilah pakaian kepada ibu bapa, alas kaki, baju, kain dan sebagainya yang patut dibelikan atau disediakan – jangan pula anak berpakaian baru setiap bulan, sedangkan ibu bapa berpakaian lusuh, dua tahun sekali atau sekali-sekala dibelikan oleh anak – ibu dan ayah kita, buatlah baik kepada mereka.

    3. Jika ibu bapa perlu kepada bantuan, harus dibantu.

      Ingat, membantu ibu bapa adalah suatu tuntutan, yang mesti dilakukan dan dipenuhi, bukan dikesampingkan. Ingat, ada mereka berdua, adanya kita sebagai anak.

      4. Menyambut panggilannya.

        Ibu bapa panggil, jawablah, bukannya buat diam atau bisu, atau pekak bodoh (supaya kelak kita tidaklah jadi bodoh – contoh).

        5. Mentaati semua perintahnya, asalkan tidak menyuruh berbuat maksiat (perkara yang menyebabkan dosa).

        6. Jika bicara kepada kedua-duanya, haruslah lembut, sopan dan tidak kasar.

        7. Anak tidak patut memanggil ibu bapa dengan nama panggilan atau nama pendek mereka (seperti dipanggil oleh rakan mereka atau orang sebaya mereka).

        8. Jika berjalan harus di belakangnya. (Ini untuk memuliakan mereka dan begitulah juga dalam hal yang sebanding).

        9. Suka untuk orang tuanya apa yang dia suka bagi dirinya sendiri dan benci bagi kedua-duanya apa yang dia benci bagi dirinya sendiri. (Contoh, anak suka makan nasi berlauk ayam, maka ibu bapanya haruslah disediakan ayam juga, bukannya mereka asyik berlaukkan telur saja.)

        10. Mendoakan kedua-duanya supaya mendapat pengampunan Allah dan rahmat-Nya.

          Anak yang soleh (untuk lelaki) atau solehah (untuk perempuan) sentiasa mendoakan ibu bapa mereka, sama ada di waktu ada bersama ataupun sudah tiada – berdoalah.

          More posts