- Bakhil daripada hartawan.
- Meninggi tinggi daripada orang fakir.
- Tamak haloba daripada ulama.
- Tiada malu daripada wanita.
- Cinta duniawi bagi orang tua.
- Malas (untuk beramal ibadat) bagi orang muda.
- Zalim bagi penguasa.
- Penakut bagi pasukan perang.
- Ujub (berasa ajaib, kagum pada diri sendiri) bagi orang zuhud.
- Riyak bagi orang beribadat.
Bakhil atau disebut juga kedekut, tangkai jering adalah sifat dikeji, apatah lagi bagi golongan berharta—disebut hartawan. Malahan dengan sikapnya yang bakhil itu, dia contohnya dijauhi, terdedah dengan pelbagai prasangka, bahkan dibenci khalayak. Padahal sekiranya dia mengamalkan sikap pemurah, peramah dan mesra manusiawi, tiadalah jatuh miskin kerana sikap terpuji itu. Dia tahu, tapi buat tak tahu—buat “pekak badak” barangkali.
Orang fakir, orang kurang atau tiada harta, sepatutnya tidak meninggi tinggi, tidak bongkak. Dia sepatutnya merendah diri, sedar tinggi rendahnya berbanding orang lain yang lebih “bertuah” atau senang cakap bernasib baik (di dunia ini). Orang fakir haruslah “ringan tulang”, yakni suka membantu (dengan ikhlas, bukan mengampu), supaya disenangi manusia lain selain mendapat ganjaran daripada Allah. Orang fakir miskin beruntung sebenarnya, sebab mudah dan pantas masuk syurga. Mari kita mendoakan agar kita juga senang masuk syurga. Ameeen!
Haloba daripada ulama. Ini membabitkan harta atau habuan duniawi. Tamak haloba itu buruk, tapi lebih buruk apabila kena pada ulama. Apa tidaknya, apabila haloba mengawal akal, maka apa yang dipelajari tidak dipraktikkan, apa yang diketahui pula disenyapkan atau dibisukan, hanya kerana mengejar habuan duniawi, khuatir terputus habuan agaknya. Khalayak akan menjadi huru-hara apabila lahir dan membiaknya ulama sedemikian. Ulama secara umum boleh diertikan orang berpengetahuan—secara khusus, orang berpengetahuan mengenai agama (Islam)—lebih khusus lagi, orang berpengetahuan agama yang taat mengamalkan apa yang diperintahkan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

