Menurut Hasan al-Basri, sebagaimana disebutkan dalam sebuah buku, hati rosak kerana enam perkara iaitu:
1. sengaja melakukan dosa dengan harapan bertaubat
2. mempelajari ilmu tetapi tidak mengamalkannya
3. apabila beramal (beribadat) tidak ikhlas – (Ikhlas ialah bertujuan semata-mata kerana Allah, bukan selain-Nya.)
4. makan tapi tidak bersyukur kepada Allah
5. tidak reda dengan bahagian (atau ketentuan oleh) Allah
6. dan mengebumikan orang mati tapi tidak mengambil iktibar daripadanya.
Ditulis orang bahawa Hasan al-Basri adalah ulama besar dalam kalangan tabiin yang meninggal dunia pada 728 Masihi. Semoga Allah memberi rahmat kepadanya.
Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk- makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya…” (Surah Hud, ayat 6)
Dalam surah Luqman, ayat 34, bermaksud: “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”

