Kategori: Sejarah

  • Rumi seorang daripada ilmuwan muslim dikagumi timur dan barat

    Rumi seorang daripada ilmuwan muslim dikagumi timur dan barat

    Rumi adalah panggilan singkat kepada Jalaluddin Rumi. Menurut tulisan, nama penuhnya ialah Jalaluddin Muhammad bin Muhammad al-Balkhi al-Qunawi.

    Dia seorang ahli ilmu Parsi terbaik sepanjang zaman, yang mempunyai pengaruh besar kepada penulisan dan budaya Muslim malah dirujuk oleh bukan Muslim.

    Dilaporkan, dia dilahirkan di Balkh (kini wilayah di Afghanistan) pada 6 Rabiulawal 604 Hijrah atau 30 September 1207 Masihi.

    Orang Afghan dan Parsi lebih suka memanggilnya dengan sebutan Jalaluddin Balkhi kerana keluarganya tinggal di Balkh sebelum berpindah ke arah barat, menurut penulisan mengenainya.

    Perkataan Maulana pada rangkai nama Maulana Jalaluddin Rumi dikatakan gelaran yang diberi oleh muridnya, bererti “Tuan Kami”.

    Bapanya ialah Bahauddin Walad, seorang ulama sufi terkenal. Dalam kalangan anak Bahauddin, Rumi yang menjadi orang ternama.

    Menurut penceritaan, ini sesuai dengan ramalan seorang tokoh sufi, Fariduddin Attar bahawa kelak Rumi akan menjadi orang ternama.

    Rumi dan bapanya adalah orang yang beriman kepada ayat al-Quran, tetapi dikritik mengamalkan peraturan zahir dan ritual semata-mata, menurut penulisan mengenainya.

    Sejauh mana kajian dan kebertanggungjawaban mereka yang membuat dakwaan atau mengkritik ke atasnya, atau sekadar menuruti apa yang dituturkan ataupun dituliskan oleh orang sebelumnya, dengan mengesampingkan aspek penting dalam pelaporan terutama dari segi logik (sosok peribadi subjek), autoriti (membabitkan sumber sama ada pada penulisan atau percakapan setiap penyampainya), sikap, sentimen dan budaya orang bercerita mengenainya.

    Penulis yang menghabiskan masa 20 tahun dalam penulisan formal sedar serba sedikit mengenai aspek terbabit yang sangat penting dalam memastikan ketepatan dalam penulisan, yang seterusnya dipercayai, dipegang dan dijadikan hujah oleh pembaca, lantas berpendirian tidak terus atau tidak cepat menghukum dengan hanya mengikut apa orang kata, melainkan ada bukti-bukti boleh dipegang – kerana jika tidak betul, ia sudah semestinya bersifat tuduhan palsu, sekali gus mendapat dosa percuma.

    Cuma dalam penulisan ini, tujuannya untuk membangkitkan kecemerlangan generasi muslim terdahulu, dan mencontohi sikap terpuji mereka, dalam kita menelusuri dan mencari-cari kejayaan di dunia dan akhirat.

    Rumi dilaporkan menghabiskan fasa awal hidupnya seperti kebanyakan yang lain, belajar dan mengkaji bahasa Arab, perundangan (berkaitan hukum), hadis, sejarah, al-Quran, teologi (tauhid, ketuhanan), falsafah, matematik dan astronomi.

    Dikatakan dia berkahwin dengan seorang puteri dari Samarkand pada 622 Hijrah atau 1225 Masihi.

    Karya besar Rumi ialah Matsnawi, yang ditulisnya selama 15 tahun ketika dia mabuk cinta kepada Tuhan dan ingin kembali ke hadapan-Nya, menurut penulis mengenainya

    Selepas penulisan Matsnawi, Rumi dikatakan sakit dan meninggal dunia pada hari minggu 5 Jamadilakhir 672 Hijrah bersamaan 16 Disember 1273, bersama dengan terbenamnya mentari di Konya.

  • Imam Bukhari minat ilmu hadis dari usia kanak-kanak

    Imam Bukhari minat ilmu hadis dari usia kanak-kanak

    Imam Bukhari nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail. Dia dilahirkan di Bukhara pada Jumaat 13 Syawal 194 Hijrah (21 Julai 810 Masihi), menurut tulisan mengenainya, bapanya meninggal dunia sewaktu dia masih kecil.

    Dikatakan, dia menuntut ilmu dengan ahli hadis di pelbagai tempat yang terkenal dengan ulama hadis.

    Tulisan mengenainya mengatakan dia mencari dan menghafaz ilmu hadis semenjak usia 10 tahun. Pada usia 16 tahun, dia dikatakan menghafaz kitab Ibnul Mubarak dan Waki’.

    Menurut tulisan mengenainya lagi, Imam Bukhari pernah ke Makkah bersama ibu dan saudara lelakinya. Di Makkah, dia dikatakan melakukan ibadat haji. Kemudian, ibu dan saudara lelakinya meninggalkannya dalam mencari ilmu hadis.

    Antara tempat dilaluinya ialah Khurasan, Iraq, Hijaz, Syam dan Mesir, menurut tulisan mengenainya.

    Dikatakan, dia mengarang kitab at-Tarikh ketika berada di Makam Rasulullah SAW. Berdasarkan tulisan mengenainya, banyak juga karyanya dan antara yang masyhur ialah Sahih Bukhari – tajuk lengkapnya ialah al-Jami’ al-Musnad as-Sahih al-Mukhtasar min ‘Umur Rasulillah wa Sunanihi wa Ayyamihi. Dikatakan dia mengambil masa 16 tahun untuk menyelesaikan karya itu.

    Mengenainya, dilaporkan, Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: Penghafaz hadis daripada penduduk Khurasan iaitu Abu Zar’ah ar-Razi, Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Abdullah bin Abdurrahman as-Samarqandi dan Hasan bin Syujak al-Balkhi.

    Imam Bukhari dikatakan sangat cinta ilmu hadis khususnya dan ilmu hikmah secara umumnya.

    Said Bakar bin Munir bin Khalid bin Askar dilapor berkata: “Suatu hari Amir Khalid bin Ahmad seorang penguasa Bukhara diutus kepada Muhammad bin Ismail agar beliau membawa kitab al-Jami’ dan at-Tarikh dan menghadap kepada penguasa itu.

    Namun Muhammad bin Ismail berkata kepadanya: Saya tidak akan mencela ilmu dan saya tidak akan membawanya menuju ke pintu-pintu rumah orang, apabila kamu mempunyai hajat maka datanglah ke majlisku atau ke rumahku. Kalau sekiranya ini mengejutkan kamu, maka kamu sebagai penguasa berhak melarang aku dari majlis yang aku adakan sehingga pada hari kiamat kelak, hal itu menjadi tanggungjawabku.”

    Imam Bukhari dilapor berkata: Aku tidak akan menyembunyikan ilmu sesuai dengan sabda Nabi yang bermaksud: Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu, kemudian dia menyembunyikannya, maka dia akan diseksa dengan api neraka.

    Dia dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu 1 Syawal 256 Hijrah atau 31 Ogos 870 Masihi iaitu ketika berusia 62 tahun. Buah tangannya memberikan jasa besar buat umat Islam.

  • Sungguh gembiranya Rasulullah atas keislaman Abu Bakar as-Siddiq

    Sungguh gembiranya Rasulullah atas keislaman Abu Bakar as-Siddiq

    Khalifah pertama daripada empat khalifah terkemuka di zaman Islam iaitu Abu Bakar as-Siddiq dilaporkan pernah berkata: “Tiga (perkara) tidak dapat dicapai dengan tiga: Kekayaan (tidak dapat dicapai) dengan angan-angan, usia muda (tidak dapat dicapai) dengan mewarna rambut dan sihat (tidak dapat dicapai) dengan ubat-ubatan.”

    Abu Bakar adalah seorang sahabat yang sangat terserlah dengan keluhuran budi pekertinya. Begitulah yang dilaporkan dalam tulisan mengenainya.

    Dari dalam dirinya terpancar erti ketaatan sebenar.

    Abu Bakar digelar sebagai Khalifatur Rasul iaitu dterjemahkan dalam penulisan sebelum ini sebagai Wakil Rasul.

    Dia dilahirkan di Makkah pada 573M dan meninggal di Madinah pada 634M, menurut catatan dalam penulisan.

    Usianya tiga tahun lebih muda daripada Nabi Muhammad dan merupakan sahabat paling rapat dengan Nabi SAW. (Menurut Oxford Bibliographies)

    Bagaimanapun menurut buku Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah, dia dilahirkan di Makkah kira-kira dua tahun selepas tahun gajah iaitu dua tahun lewat daripada keputeraan Rasulullah.

    Ibunya Salma Ummul Khair binti Sakhar. Ummul Khair (jika rangkai nama itu diterjemahkan bererti Ibu Kebaikan) daripada keturunan Quraisy sebagaimana suaminya. Dia tertarik kepada Islam dari awal ketika dia melihat sendiri ketabahan dan hemah tinggi Rasulullah. Demikian diceritakan dalam penulisan yang sempat dibaca.

    Sejak kanak-kanak hingga dewasa, Abu Bakar seorang yang memiliki akhlak mulia. (Diceritakan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)

    Seperti Nabi, dia tidak pernah menyembah berhala, walaupun sebelum Islam; dia mengikuti agama Ibrahim, dikenal di Arab sebagai Hanif. (Menurut Oxford Bibliographies)

    Abu Bakar dikenali kearifannya dalam bidang nasab keturunan dan takrif mimpi di samping seorang pedagang berjaya. (Dijelaskan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)

    Dia seorang ahli perniagaan yang mulia dan kaya, namun dia mengelakkan maksiat yang biasa berlaku kepada masyarakat Arab sebelum Islam. (Diterangkan oleh Oxford Bibliographies)

    Jenis perniagaannya ialah kain pakaian yang dibawa masuk dari Syria untuk diedarkan kepada penduduk Makkah. (Ada diterangkan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)

    Justeru, Abu Bakar adalah orang yang sangat disayangi dan dicintai oleh kaumnya. Seorang pedagang berakhlak mulia dan dermawan. Begitulah yang diceritakan.

    Tokoh-tokoh dalam kalangan kaumnya sentiasa mendatanginya untuk meminta bantuan dan menyelesaikan apa saja urusan kerana pengetahuannya yang luas, pengalamannya dalam perdagangan dan perangainya yang sopan. (Diterangkan dalam Hayah as-Sohabah Kehidupan Para Sahabat)

    Abu Bakar kononnya adalah lelaki pertama yang memeluk Islam, tetapi pandangan ini diragui oleh majoriti sejarawan Muslim. (Ini menurut Encyclopaedia Britannica)

    Buku Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah menyatakan, dia adalah lelaki kedua selepas Ali memeluk Islam.

    Sejak itu dia menumpukan perhatian, tenaga dan harta bagi kepentingan agama Allah bersama Rasulullah.

    Hayah as-Sohabah Kehidupan Para Sahabat (menyebutkan hadis diriwayatkan Abu Hasan al-Athrabulusi seperti disebutkan dalam al-Bidayah, jilid III halaman 29) menceritakan daripada Aisyah dia berkata:

    Sejak zaman Jahiliah, Abu Bakar adalah kawan Rasulullah. Pada suatu hari, dia keluar untuk menemui Rasulullah.

    Ketika bertemu dengan Nabi, dia berkata: “Wahai Abul Qasim (panggilan Nabi), ada apa dengan anda, anda tidak terlihat di majlis kaum anda dan orang-orang menuduh bahawa anda telah berkata buruk mengenai nenek moyang anda dan lain-lainnya lagi?”

    Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya saya adalah utusan Allah dan saya mengajak anda kepada Allah.”

    Selesai Nabi berbicara, Abu Bakar pun terus masuk Islam.

    Melihat keislamannya itu, baginda sungguh gembira, tidak ada seorang pun yang ada di antara dua gunung di Makkah yang berasa gembira melebihi kegembiraan baginda.