Ibn Saati anak pakar kunci, jam kuasai pelbagai disiplin ilmu

Ibn Saati atau nama penuhnya Fakhruddin Ridwan bin Muhammad bin Ali bin Rustam al-Khurasani seorang ilmuwan menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Bapa Ibn Saati adalah penduduk Khurasan, namun menetap di Damsyik. Ibn Saati sendiri lahir di Damsyik.

Bapanya dikenal sebagai pakar pembuat kunci. Hasil bapanya yang terkenal berupa kunci dan mangga besar yang terpasang pada pintu masuk Masjid Besar Damsyik. Barang ini dipesan oleh Zangid al-Malik al-Adil Nur ad-Din Mahmud (meninggal pada Syawal 569 Hijrah atau 1174 Masihi).

Hasil ayahnya yang lain ialah jam yang ditempatkan di Bab al-Jairun di Damsyik, yang kemudian lebih dikenal sebagai Babus Sya’ah. Bapa Ibn Saati tetap menjadi penanggungjawab jam itu hingga kematiannya pada 1184 atau 1185 Masihi. Selain kepakaran membuat kunci dan jam, bapanya banyak ilmu pengetahuan, bahkan pakar di bidang astronomi.

Ibn Saati juga mempunyai kepakaran di bidang kedoktoran. Dia juga pakar kepustakaan, logik dan disiplin falsafah. Kepakaran membuat kunci yang diwarisi daripada bapanya juga dikuasainya.

Dia mampu untuk memperbetulkan jam dibuat bapanya yang ditempatkan di Bab al-Jairun. Pada 1203 Masihi menulis sebuah buku yang menjelaskan kegunaan dan binaan jam.

Ibn Saati pertama kali menjadi seorang menteri sewaktu al-Malik al-Faiz bin al-Malik al-Adil Muhammad bin Ayyub (anak saudara Salahuddin al-Ayyubi).

Kemudian menjadi menteri dan doktor peribadi kepada saudara al-Faiz iaitu al-Malik al-Muazzam bin al-Malik al-Adil (meninggal pada 624 Hijrah atau 1227 Masihi).

Ibn Saati meninggal dunia sekitar tahun 627 Hijrah atau 1230 Masihi di Damsyik. Karyanya di bidang kedoktoran sukar ditemui. Demikian juga dengan yang lain, melainkan sebuah karya mengenai pembuatan kunci iaitu Risalah fi Amar as-Sa’at wa Isti’maliha. Buku ini diterjemahkan oleh E Wiedemann dan Frietz Houser pada 1915 Masihi. Demikian menurut penceritaan yang dinukilkan daripada sebuah buku.