Utsman yang dermawan beli perigi untuk beri bekalan air percuma kepada penduduk

Utsman bin Affan adalah seorang daripada sahabat Nabi SAW yang terkemuka, dikenali sebagai seorang hartawan, bangsawan, dermawan, penyabar, tawaduk serta sangat taat dan khusyuk dalam melaksanakan ibadat kepada Allah.

Dia berasal daripada kedudukan sosial dan ekonomi yang tinggi. Memiliki perangai dan keperibadian yang baik, bahkan sebelum memeluk Islam, dia terkenal dengan kejujuran dan dan keramahannya.

Kedermawanan Utsman nampak pada kehidupannya sehari-hari. Ketika bencana kekeringan melanda kota Madinah, orang Islam terpaksa menggunakan perigi Rum sebagai sumber mata air.

Namun perigi itu adalah milik Yusuf, seorang Yahudi tua. Bagi mengambil air perigi itu, orang Islam mesti membayar mahal dengan harga ditetapkannya.

Melihat keadaan penduduk Madinah, Utsman berjumpa Yusuf dan berkata: “Wahai Yusuf, mahukah kamu menjual perigi Rum ini kepadaku?”

Orang itu segera menyambut permintaan Utsman. “Saya sedia menjual perigi ini. Berapa kamu sanggup membayarnya?”

“Sepuluh ribu dirham,” jawab Utsman.

Orang itu tersenyum tajam.

“Perigi ini hanya saya jual separuh. Jika bersedia, sekarang juga kamu bayar dua belas ribu dirham dan perigi ini kita bahagi dua. Sehari untukmu dan sehari untukku.”

Setelah berfikir sekejap, Utsman menjawab: “Baiklah, saya terima tawaranmu.”

Setelah membayar harga yang diinginkan, Utsman menyuruh pekerjanya untuk mengisytiharkan kepada penduduk, bahawa mereka bebas mengambil air dari perigi itu tanpa sebarang bayaran.

Sejak itu, penduduk Madinah bebas mengambil air sebanyak mungkin untuk keperluan mereka. Lain halnya dengan orang Yahudi itu, tiada seorang pun membeli air dengannya.

Ketika Utsman datang menemuinya untuk membeli separuh baki sumber air periginya, dia tidak boleh menolak walau dengan harga murah sekalipun.