Khalifah pertama daripada empat khalifah terkemuka di zaman Islam iaitu Abu Bakar as-Siddiq dilaporkan pernah berkata: “Tiga (perkara) tidak dapat dicapai dengan tiga: Kekayaan (tidak dapat dicapai) dengan angan-angan, usia muda (tidak dapat dicapai) dengan mewarna rambut dan sihat (tidak dapat dicapai) dengan ubat-ubatan.”
Abu Bakar adalah seorang sahabat yang sangat terserlah dengan keluhuran budi pekertinya. Begitulah yang dilaporkan dalam tulisan mengenainya.
Dari dalam dirinya terpancar erti ketaatan sebenar.
Abu Bakar digelar sebagai Khalifatur Rasul iaitu dterjemahkan dalam penulisan sebelum ini sebagai Wakil Rasul.
Dia dilahirkan di Makkah pada 573M dan meninggal di Madinah pada 634M, menurut catatan dalam penulisan.
Usianya tiga tahun lebih muda daripada Nabi Muhammad dan merupakan sahabat paling rapat dengan Nabi SAW. (Menurut Oxford Bibliographies)
Bagaimanapun menurut buku Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah, dia dilahirkan di Makkah kira-kira dua tahun selepas tahun gajah iaitu dua tahun lewat daripada keputeraan Rasulullah.
Ibunya Salma Ummul Khair binti Sakhar. Ummul Khair (jika rangkai nama itu diterjemahkan bererti Ibu Kebaikan) daripada keturunan Quraisy sebagaimana suaminya. Dia tertarik kepada Islam dari awal ketika dia melihat sendiri ketabahan dan hemah tinggi Rasulullah. Demikian diceritakan dalam penulisan yang sempat dibaca.
Sejak kanak-kanak hingga dewasa, Abu Bakar seorang yang memiliki akhlak mulia. (Diceritakan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)
Seperti Nabi, dia tidak pernah menyembah berhala, walaupun sebelum Islam; dia mengikuti agama Ibrahim, dikenal di Arab sebagai Hanif. (Menurut Oxford Bibliographies)
Abu Bakar dikenali kearifannya dalam bidang nasab keturunan dan takrif mimpi di samping seorang pedagang berjaya. (Dijelaskan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)
Dia seorang ahli perniagaan yang mulia dan kaya, namun dia mengelakkan maksiat yang biasa berlaku kepada masyarakat Arab sebelum Islam. (Diterangkan oleh Oxford Bibliographies)
Jenis perniagaannya ialah kain pakaian yang dibawa masuk dari Syria untuk diedarkan kepada penduduk Makkah. (Ada diterangkan dalam Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah)
Justeru, Abu Bakar adalah orang yang sangat disayangi dan dicintai oleh kaumnya. Seorang pedagang berakhlak mulia dan dermawan. Begitulah yang diceritakan.
Tokoh-tokoh dalam kalangan kaumnya sentiasa mendatanginya untuk meminta bantuan dan menyelesaikan apa saja urusan kerana pengetahuannya yang luas, pengalamannya dalam perdagangan dan perangainya yang sopan. (Diterangkan dalam Hayah as-Sohabah Kehidupan Para Sahabat)
Abu Bakar kononnya adalah lelaki pertama yang memeluk Islam, tetapi pandangan ini diragui oleh majoriti sejarawan Muslim. (Ini menurut Encyclopaedia Britannica)
Buku Khulafa Rasyidun & Daulah Islamiah menyatakan, dia adalah lelaki kedua selepas Ali memeluk Islam.
Sejak itu dia menumpukan perhatian, tenaga dan harta bagi kepentingan agama Allah bersama Rasulullah.
Hayah as-Sohabah Kehidupan Para Sahabat (menyebutkan hadis diriwayatkan Abu Hasan al-Athrabulusi seperti disebutkan dalam al-Bidayah, jilid III halaman 29) menceritakan daripada Aisyah dia berkata:
Sejak zaman Jahiliah, Abu Bakar adalah kawan Rasulullah. Pada suatu hari, dia keluar untuk menemui Rasulullah.
Ketika bertemu dengan Nabi, dia berkata: “Wahai Abul Qasim (panggilan Nabi), ada apa dengan anda, anda tidak terlihat di majlis kaum anda dan orang-orang menuduh bahawa anda telah berkata buruk mengenai nenek moyang anda dan lain-lainnya lagi?”
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya saya adalah utusan Allah dan saya mengajak anda kepada Allah.”
Selesai Nabi berbicara, Abu Bakar pun terus masuk Islam.
Melihat keislamannya itu, baginda sungguh gembira, tidak ada seorang pun yang ada di antara dua gunung di Makkah yang berasa gembira melebihi kegembiraan baginda.

