Tag: Abu Bakar

  • Kenal dulu sekolah, jangan kerana dibius nafsu bersikap dan bertindak melulu

    Kenal dulu sekolah, jangan kerana dibius nafsu bersikap dan bertindak melulu

    Apabila ke sekolah untuk belajar, ia tidak sama ke pasar atau pusat beli-belah. Juga tidak sama ke padang dan gelanggang untuk permainan atau tempat komuniti untuk kemasyarakatan.

    Malah tidak sama dengan tempat seperti taman dan pantai untuk berehat. Malah jauh berbeza dengan ‘port’ untuk terkinja-kinja dan mabuk seperti kelab disko (di Indonesia dipanggil diskotik) atau pub. Ingat tu!

    Di pasar, bunyi bising riuh-rendah dengan orang ramai sesetengahnya, menawarkan barangan dijual, dan begitu juga di padang dan gelanggang, sorakan menggemakan untuk menaikkan semangat.

    Di dalam kelab disko, suasananya gelap, bunyinya teruk (kuat, mendegupkan jantung), terasa dinding seperti mahu roboh…tak risau?

    Tapi di sekolah, keadaan adalah sebaliknya, suasananya perlu tenteram, tiada bising, bahkan segala tingkah laku perlu dijaga.

    Sebab apa? Sebab itu namanya pun sekolah, tempat orang belajar, tempat orang belajar adab, belajar untuk cerdik dan belajar untuk jadi baik. Memijak kaki di sekolah, tidak sama memijakkan kaki di tempat lain, berasa tenang, damai, hati tenteram.

    Justeru, jika kita tidak boleh menampilkan perangai baik di sekolah, menunjukkan kita belum kenal sekolah, tidak memahami sekolah itu apa?

    Segelintir yang ‘tidak kenal sekolah’ lantas melakukan bermacam-macam hal di sekolah, ada yang mencari salah guru, mengherdik guru, berbalah dengan guru, cari dan bertikam lidah dengan guru, bergaduh, buli, malah pukul, cedera dan bunuh.

    Itu dan yang lain-lain termasuk untuk minum arak di dalamnya adalah sangat-sangat tidak patut, sekali gus mencemarkan kemuliaan institusi pendidikan itu – walaupun ada yang tutup mata, buat-buat tak nampak atau tak rasa apa-apa – sebab rasa kamu itu sudah dibius nafsu.

    Murid, apabila ke sekolah mesti jaga adab terutama terhadap guru dan rakan-rakan di sekolah. Jangan main ikut saja perangai orang yang entah apa-apa.

    Paling penting, sifir yang harus diingati seorang murid ialah mesti jaga dirinya daripada mendapat bahaya atau membahayakan orang lain.

    Di sini disertakan adab terhadap guru:

    1. Merendah diri terhadap guru.
    2. Memandang kepada guru dengan pandangan hormat.
    3. Mengakui hak guru terhadap dirinya. Dia tidak melupakan kelebihan dan budinya.
    4. Mendoakan untuk gurunya.
    5. Duduk di depan guru dengan sopan.
    6. Menjaga diri daripada segala yang mengganggu ketenangan gurunya.
    7. Tidak memasuki bilik atau tempat khusus gurunya dengan sewenang-wenang, melainkan selepas meminta izin.
    8. Tidak melalaikan dirinya daripada mendengar atau memahami apa yang disampaikan gurunya. (Yakni jangan buat bodoh atau bergurau apabila guru mengajar.)
  • Buat baiklah kepada ibu bapa, berdoalah untuk mereka

    Buat baiklah kepada ibu bapa, berdoalah untuk mereka

    Seorang anak harus berterima kasih kepada orang tuanya, kedua-duanya – ibu dan bapa – kerana dilahirkan, dibesarkan, diberi makan minum, pakaian dan keselesaan.

    Malah anak diberikan tunjuk ajar, walaupun sesetengah ibu bapa tidaklah tahu membaca menulis – mereka tetap berusaha mengajar anak mengikut cara dan kebolehan mereka ada, hanya kerana ingin melihat anaknya pandai, pintar dan menjadi orang baik-baik.

    Apabila menginjak usia persekolahan, ibu bapa juga menghantar dan mengambil anak ke sekolah, sesetengahnya, terutama pada umur masih kecil – betapa sayangnya mereka kepada anak.

    Waktu, susah senang, wang ringgit tidak berkira – itulah ibu bapa – namun mengapa anak apabila makin dewasa, makin kenal manisnya dunia, makin panjang langkahnya sangat-sangat berkira dengan ibu bapa – yang tidak kena dilakukan ibu walaupun sedikit dijadikan sebab untuk bermasam muka, berbalah, bahkan sampai membenci dan memulaukan mereka.

    Anak mungkin sudah lupa atau memang tidak pernah ingat dan tidak ingin pun untuk cuba mengingati, yang dia suatu ketika dulu, bermacam-macam hal buruk dilakukan.

    Tetapi ibu bapa menghadapinya tanpa banyak soal. Malam menangis, kadang-kadang ibu bapa bahkan ada yang selalu tidak nyenyak tidur dan apabila besar sikit, dah ada kawan terjebak dalam perkara tidak patut, tapi ibu bapalah yang menutup tingkah laku buruk anak, agar anak itu tidak mendapat malu, dengan alasan ‘nakal budak-budak biasalah’ bersama harapan agar berubah jadi baik, seperti yang baik-baik.

    Begitulah secebis yang dapat digambarkan mengenai kemuliaan ibu bapa terhadap anaknya. Tapi anak?

    Justeru, berikut adalah 10 hak yang harus dilaksanakan oleh seorang anak terhadap orang tuanya:

    1. Jika orang tua berhajat atau berkehendak kepada makan, harus diberi makan.

    Ini memang patut pun – takkanlah anak makan, ibu bapa lapar – itu namanya anak durjana.

    2. Jika ibu bapa berhajat kepada pakaian, harus diberi pakaian.

      Ini kadang-kadang lupa. Ada kelapangan kewangan, belilah pakaian kepada ibu bapa, alas kaki, baju, kain dan sebagainya yang patut dibelikan atau disediakan – jangan pula anak berpakaian baru setiap bulan, sedangkan ibu bapa berpakaian lusuh, dua tahun sekali atau sekali-sekala dibelikan oleh anak – ibu dan ayah kita, buatlah baik kepada mereka.

      3. Jika ibu bapa perlu kepada bantuan, harus dibantu.

        Ingat, membantu ibu bapa adalah suatu tuntutan, yang mesti dilakukan dan dipenuhi, bukan dikesampingkan. Ingat, ada mereka berdua, adanya kita sebagai anak.

        4. Menyambut panggilannya.

          Ibu bapa panggil, jawablah, bukannya buat diam atau bisu, atau pekak bodoh (supaya kelak kita tidaklah jadi bodoh – contoh).

          5. Mentaati semua perintahnya, asalkan tidak menyuruh berbuat maksiat (perkara yang menyebabkan dosa).

          6. Jika bicara kepada kedua-duanya, haruslah lembut, sopan dan tidak kasar.

          7. Anak tidak patut memanggil ibu bapa dengan nama panggilan atau nama pendek mereka (seperti dipanggil oleh rakan mereka atau orang sebaya mereka).

          8. Jika berjalan harus di belakangnya. (Ini untuk memuliakan mereka dan begitulah juga dalam hal yang sebanding).

          9. Suka untuk orang tuanya apa yang dia suka bagi dirinya sendiri dan benci bagi kedua-duanya apa yang dia benci bagi dirinya sendiri. (Contoh, anak suka makan nasi berlauk ayam, maka ibu bapanya haruslah disediakan ayam juga, bukannya mereka asyik berlaukkan telur saja.)

          10. Mendoakan kedua-duanya supaya mendapat pengampunan Allah dan rahmat-Nya.

            Anak yang soleh (untuk lelaki) atau solehah (untuk perempuan) sentiasa mendoakan ibu bapa mereka, sama ada di waktu ada bersama ataupun sudah tiada – berdoalah.

          1. Orang miskin akan dapat lima kemuliaan tidak diperolehi orang kaya

            Orang miskin akan dapat lima kemuliaan tidak diperolehi orang kaya

            Di dunia, mereka dipandang sebelah mata, dipandang sinis, bersama prasangka buruk tanpa asas, bahkan dalam banyak keadaan tidak dipandang pun – itulah orang miskin.

            Mereka yang kita pandang sebagai mereka kadang-kadang bukan orang lain pun, barangkali mereka yang kita berasa terjauh itu adalah ahli keluarga kita, sanak-saudara, kaum kerabat atau kawan sepermainan kita suatu ketika dulu.

            Waktu usia kanak-kanak, kita tidak membezakan antara miskin atau berharta, kita berkawan sesiapa saja tak kira daripada keluarga senang atau susah, kerana jiwa kita ketika itu masih bersih, akal kita masih hijau.

            Tetapi apabila sudah agak dewasa, kerjaya makin meningkat, pendapatan mencanak-canak, jiwa kian berdebu, tak pernah disapu apatah lagi dibasuh dengan siraman iman, makin lama debu berubah jadi ‘hama’ yang sukar dicari untuk ditepis.

            Apa-apa pun, miskin atau berharta tidak dibezakan di sisi Tuhan, dalam erti kata yang miskin tidaklah dikurangkan pandangannya, manakala yang berharta tidak pula dilebihkan pandangannya. Neracanya adil berdasarkan iman dan amalan, bersama ikhlas yang sejati. Berharta tapi lupa Dia, dicerca dan menghadapi akibat yang buruk. Miskin tapi ingat Dia, sangat disayangi oleh-Nya.

            Dalam Tanbihul Ghafilin, ada disebutkan, orang fakir miskin akan mendapat lima kemuliaan:

            1. Pahala amalannya lebih daripada pahala amalan orang kaya dalam solat, sedekah dan lain-lain.
            2. Jika mahu sesuatu dan tidak tercapai, dicatat baginya pahala.
            3. Mereka lebih dahulu masuk syurga.
            4. Hisab (hitungan) mereka di akhirat lebih ringan.
            5. Penyesalan mereka sangat kurang, sedangkan orang kaya ingin seperti orang fakir di akhirat manakala orang fakir tidak ingin seperti orang kaya.
          2. Lapan anugerah yang ramai tidak sedar disebutkan oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab

            Lapan anugerah yang ramai tidak sedar disebutkan oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab

            Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA dipetik sebagai berkata:

            1. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam berkata-kata, maka dia dianugerahkan hikmah (kebijaksanaan).
            2. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam melihat, nescaya dianugerahkan hati yang khusyuk.
            3. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam makan, nescaya dianugerahkan kelazatan dalam beribadat.
            4. Sesiapa menghindari daripada berlebih-lebihan dalam ketawa, maka dianugerahkan kewibawaan.
            5. Sesiapa meninggalkan bergurau, nescaya dianugerahkan wibawa yang anggun.
            6. Sesiapa mengelak daripada cinta dunia, maka dianugerahkan cinta akhirat.
            7. Sesiapa meninggalkan kesibukan meneliti aib orang lain, nescaya memperbaiki aib dirinya sendiri.
            8. Dan sesiapa meninggalkan daripada mengintai-intai keadaan Allah Taala, maka dia dianugerahkan kebebasan daripada kemunafikan.

            Demikian antara nasihat seorang daripada sahabat-sahabat kesayangan nabi, barisan sahabat yang utama, tokoh yang terkemuka dalam sejarah kebangkitan Islam dan umatnya.

            Namun, mengingatkan namanya serta mengenangkan keperibadian dan keteguhan jiwanya dengan keimanan jitu, membuatkan hati sebak, butir-butir jernih dari kelopak mata terasa seperti mahu gugur ke bumi, setelah apa yang ditohmahkan oleh individu tertentu terhadapnya…