Kenal dulu sekolah, jangan kerana dibius nafsu bersikap dan bertindak melulu

Apabila ke sekolah untuk belajar, ia tidak sama ke pasar atau pusat beli-belah. Juga tidak sama ke padang dan gelanggang untuk permainan atau tempat komuniti untuk kemasyarakatan.

Malah tidak sama dengan tempat seperti taman dan pantai untuk berehat. Malah jauh berbeza dengan ‘port’ untuk terkinja-kinja dan mabuk seperti kelab disko (di Indonesia dipanggil diskotik) atau pub. Ingat tu!

Di pasar, bunyi bising riuh-rendah dengan orang ramai sesetengahnya, menawarkan barangan dijual, dan begitu juga di padang dan gelanggang, sorakan menggemakan untuk menaikkan semangat.

Di dalam kelab disko, suasananya gelap, bunyinya teruk (kuat, mendegupkan jantung), terasa dinding seperti mahu roboh…tak risau?

Tapi di sekolah, keadaan adalah sebaliknya, suasananya perlu tenteram, tiada bising, bahkan segala tingkah laku perlu dijaga.

Sebab apa? Sebab itu namanya pun sekolah, tempat orang belajar, tempat orang belajar adab, belajar untuk cerdik dan belajar untuk jadi baik. Memijak kaki di sekolah, tidak sama memijakkan kaki di tempat lain, berasa tenang, damai, hati tenteram.

Justeru, jika kita tidak boleh menampilkan perangai baik di sekolah, menunjukkan kita belum kenal sekolah, tidak memahami sekolah itu apa?

Segelintir yang ‘tidak kenal sekolah’ lantas melakukan bermacam-macam hal di sekolah, ada yang mencari salah guru, mengherdik guru, berbalah dengan guru, cari dan bertikam lidah dengan guru, bergaduh, buli, malah pukul, cedera dan bunuh.

Itu dan yang lain-lain termasuk untuk minum arak di dalamnya adalah sangat-sangat tidak patut, sekali gus mencemarkan kemuliaan institusi pendidikan itu – walaupun ada yang tutup mata, buat-buat tak nampak atau tak rasa apa-apa – sebab rasa kamu itu sudah dibius nafsu.

Murid, apabila ke sekolah mesti jaga adab terutama terhadap guru dan rakan-rakan di sekolah. Jangan main ikut saja perangai orang yang entah apa-apa.

Paling penting, sifir yang harus diingati seorang murid ialah mesti jaga dirinya daripada mendapat bahaya atau membahayakan orang lain.

Di sini disertakan adab terhadap guru:

  1. Merendah diri terhadap guru.
  2. Memandang kepada guru dengan pandangan hormat.
  3. Mengakui hak guru terhadap dirinya. Dia tidak melupakan kelebihan dan budinya.
  4. Mendoakan untuk gurunya.
  5. Duduk di depan guru dengan sopan.
  6. Menjaga diri daripada segala yang mengganggu ketenangan gurunya.
  7. Tidak memasuki bilik atau tempat khusus gurunya dengan sewenang-wenang, melainkan selepas meminta izin.
  8. Tidak melalaikan dirinya daripada mendengar atau memahami apa yang disampaikan gurunya. (Yakni jangan buat bodoh atau bergurau apabila guru mengajar.)

More posts