Imam Bukhari nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail. Dia dilahirkan di Bukhara pada Jumaat 13 Syawal 194 Hijrah (21 Julai 810 Masihi), menurut tulisan mengenainya, bapanya meninggal dunia sewaktu dia masih kecil.
Dikatakan, dia menuntut ilmu dengan ahli hadis di pelbagai tempat yang terkenal dengan ulama hadis.
Tulisan mengenainya mengatakan dia mencari dan menghafaz ilmu hadis semenjak usia 10 tahun. Pada usia 16 tahun, dia dikatakan menghafaz kitab Ibnul Mubarak dan Waki’.
Menurut tulisan mengenainya lagi, Imam Bukhari pernah ke Makkah bersama ibu dan saudara lelakinya. Di Makkah, dia dikatakan melakukan ibadat haji. Kemudian, ibu dan saudara lelakinya meninggalkannya dalam mencari ilmu hadis.
Antara tempat dilaluinya ialah Khurasan, Iraq, Hijaz, Syam dan Mesir, menurut tulisan mengenainya.
Dikatakan, dia mengarang kitab at-Tarikh ketika berada di Makam Rasulullah SAW. Berdasarkan tulisan mengenainya, banyak juga karyanya dan antara yang masyhur ialah Sahih Bukhari – tajuk lengkapnya ialah al-Jami’ al-Musnad as-Sahih al-Mukhtasar min ‘Umur Rasulillah wa Sunanihi wa Ayyamihi. Dikatakan dia mengambil masa 16 tahun untuk menyelesaikan karya itu.
Mengenainya, dilaporkan, Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: Penghafaz hadis daripada penduduk Khurasan iaitu Abu Zar’ah ar-Razi, Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Abdullah bin Abdurrahman as-Samarqandi dan Hasan bin Syujak al-Balkhi.
Imam Bukhari dikatakan sangat cinta ilmu hadis khususnya dan ilmu hikmah secara umumnya.
Said Bakar bin Munir bin Khalid bin Askar dilapor berkata: “Suatu hari Amir Khalid bin Ahmad seorang penguasa Bukhara diutus kepada Muhammad bin Ismail agar beliau membawa kitab al-Jami’ dan at-Tarikh dan menghadap kepada penguasa itu.
Namun Muhammad bin Ismail berkata kepadanya: Saya tidak akan mencela ilmu dan saya tidak akan membawanya menuju ke pintu-pintu rumah orang, apabila kamu mempunyai hajat maka datanglah ke majlisku atau ke rumahku. Kalau sekiranya ini mengejutkan kamu, maka kamu sebagai penguasa berhak melarang aku dari majlis yang aku adakan sehingga pada hari kiamat kelak, hal itu menjadi tanggungjawabku.”
Imam Bukhari dilapor berkata: Aku tidak akan menyembunyikan ilmu sesuai dengan sabda Nabi yang bermaksud: Sesiapa yang ditanya mengenai ilmu, kemudian dia menyembunyikannya, maka dia akan diseksa dengan api neraka.
Dia dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu 1 Syawal 256 Hijrah atau 31 Ogos 870 Masihi iaitu ketika berusia 62 tahun. Buah tangannya memberikan jasa besar buat umat Islam.

