Dengki sikap keji undang musibah, ganggu hidup

Dengki, perkataan dan bunyinya ringkas, namun ia hadir dalam pelbagai watak dan ragam yang membuatkan mangsa mendapat susah.

Ada orang secara diam mendengki kepada orang lain, tak kira lelaki atau perempuan, muda atau tua, berpangkat atau tidak, bos atau sesama kawan, orang politik atau marhaen.

Tidak kurang juga yang secara terang-terangan menzahirkan dengkinya, kerana berasa diri cukup kuat, tidak terkalahkan oleh orang lain.

Diri manusia, apabila disampuk rasa dengki, biasanya tidak senang duduk, dirundung rasa tertekan dan gelisah, lelah bahkan lama-kelamaan bingung dalam kesendiriannya.

Episod demi esipod hal yang dirasakan tidak pernah selesai, hasil daripada perasaan curiga, suka bermusuh, menganiaya yang lain dan sikap pasifnya.

Kawan makan kawan, kawan dibuat seperti musuh, baik dibalas buruk, pertimbangan tidak dibuat secara adil, bawa mulut, reka dan tambah cerita khususnya yang buruk-buruk, hal yang kecil dan samar diperbesarkan dan diperjelaskan, dera dan buli, menidakkan sesuatu yang layak – begitulah jadinya apabila dengki menusuk kalbu, bahkan bersarang di jiwa manusia.

Orang yang mendengki ini sungguh buruk perangainya – busuk. Mereka tak peduli hal orang lain – yang mereka fikir dan mahu ialah baik dan untung untuk dirinya saja. Dia tak suka orang lain berjaya, senang dan gembira. Dia suka orang didengkinya dapat duka dan celaka.

Hati-hati kawan! Selalunya spesies seperti ini bermuka-muka, di depan tampil manis, di belakang mencuka, depan kita memuji tapi belakang kita mengeji, kelihatan OK walhal sebenarnya KO.

Adanya spesies sebeginilah membuatkan suasana suatu tempat itu muram, jika di gelanggang permainan hilang semangat kesukanan, manakala di tempat kerja jadi hilang ceria, luntur tekad produktiviti, tiada berkat dan boleh buat institusi merudum. Ini hakikat, bukan menyakat.

Tokoh tabiin, Malik bin Dinar dilaporkan orang (ada dicatatkan dalam Nasoihul Ibad) sebagai berkata: “Buang tiga (ganti) dengan tiga sehingga anda tergolong orang beriman: Sombong dengan tawaduk, tamak dengan qanaah (berasa cukup) dan dengki dengan nasihat.”

Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Jauhilah hasad kerana hasad memakan kebaikan laksana api memakan kayu bakar atau baginda menyebut rerumputan.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

Menurut Ibnu Athaillah, orang yang sibuk memikirkan nikmat dunia yang diberikan kepada orang lain adalah orang yang lebih bodoh, sebab dia memikirkan nikmat yang dia tidak milikinya.

Firman-Nya dalam surah al-Hasyr, ayat 10 bermaksud: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman.

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu.”

Ketika hayat dikandung badan, hayati nikmat hidup diberikan Tuhan dengan sebaik-baiknya dan berbuat baiklah sesama manusia.