Detik mutakhir ini, orang memandang kepada harta kebendaan, manakala aspek lain diketepikan. Hala tuju hidup mereka, malah pembawaan diri adalah harta.
Gaji besar, kereta besar malah semuanya mahu yang besar-besar contohnya, walaupun mereka sendiri tidaklah tergolong orang berharta.
Jika berkawan, mereka hanya berkawan dengan orang berharta. Mencari pasangan hidup, cari menantu contohnya, hendak orang berharta.
Kadang-kadang, dalam beribadat – dalam solat misalnya masih dibuai hal berkaitan harta – maka, tiadalah khusyuk. Pendek kata, semuanya harta kebendaan.
Orang tidak berharta, dipandang rendah, hina, tak penting pada mereka atau tidak berguna, melainkan untuk hal yang dirasakan rendah oleh mereka.
Padahal semua sedar, apabila maut menyapa tiada siapa membawa harta. Kereta besar, rumah besar atau pangkat besar, sanjungan, semuanya ditinggalkan. Manakala itu, jika isteri-isteri masih ada, segar-bugar, menikmati harta ditinggalkan, kemudian kahwin lagi – contoh.
Tidakkah berasa tiada apa-apa pada harta kebendaan yang dibolot, sehingga dirasakan tidak cukup waktu, sama ada dengan cara betul atau tidak, semuanya tidak diambil peduli?
Betul, apabila kita asyik menghitung harta diperolehi, wang masuk, saham naik, harga melambung misalnya, maka peredaran waktu dirasakan tidak mencukupi. Maka, timbullah ungkapan ‘waktu mencemburuiku’.
Orang, apabila sudah dirasuk harta, betul atau tidak cara digunakan dari segi agama terutamanya, tidak dipedulikan. Kesejahteraan, adil atau zalim kepada orang lain, tiada difikirkan.
Penipuan, penindasan, atau sekurang-kurangnya apa jua tindakan mengambil kesempatan, membuatkan orang berada dalam situasi terpaksa, diterapkan dengan cara yang tidak disedari orang ramai, supaya pihak-pihak tidak dapat melakukan justifikasi (mengatakan betul atau salah, menetapkan halal atau tidak) terhadap pengoperasiannya.
Maka, hari ini tidak peliklah apabila kita mendengar berita saudara-mara tidak bertegur sapa kerana harta, orang berkelahi dan masuk penjara kerana harta.
Perang sana-sini, membuatkan dunia tidak pernah aman, juga kerana harta. Emas, minyak sebagai contoh, menjadi rebutan. Maka, golongan lemah menjadi mangsa kerakusan mereka.
Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 360, ada menyebutkan hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi: Daripada Ka’ab bin ‘Iyadh RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya bagi setiap umat ada fitnah, dan fitnah umatku, harta.
At-Tirmidzi juga meriwayatkan hadis: Daripada Ka’ab bin Malik, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah dua ekor serigala lapar yang dikirimkan kepada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada ketamakan seseorang terhadap harta dan kemuliaan (kemegahan), bagi agamanya. (Dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya)

