Elak neraka dengan sikap baik sesama ahli keluarga, sanak-saudara

Menghubungi ahli keluarga, sanak-saudara atau kerabat adalah amalan mulia yang ditekankan dalam Islam. Kadang-kadang kita lupa kerana sibuk bekerja atau kejar harta.

Sikap baik, peramah dan pemurah dengan ahli keluarga dan sanak-saudara bukan saja pada satu dua hari raya, bahkan sepanjang waktu, seusia kita.

Mudah berkira, suka membantu sesama ahli keluarga dengan segala macam sikap baik ada ganjarannya. Maknanya, ia tidak sia-sia atau terhapus dibawa angin begitu saja.

Neraka mengharamkan orang terbabit daripadanya. Ini sebagaimana diterangkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, pada halaman 457, menyebutkan at-Tirmidzi (dan dia berkata hadis hasan) meriwayatkan: Daripada Ibnu Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketahuilah, saya beritahu kamu orang yang diharamkan dari neraka, atau orang yang neraka haramkan ke atasnya. Ia (neraka) haramkan atas setiap orang yang rapat (karib, kerabat, saudara-mara) yang baik hati (tenang), lemah lembut dan mudah.

Justeru jika ingin jauh dari neraka, selamat dari neraka, tidak masuk neraka, yang secara tak langsung maknanya masuk syurga, bersikap baiklah sesama ahli keluarga, saudara-mara atau kaum kerabat.

Masalah dihadapi selesaikan secara berhemah, dalam suasana harmonis ke arah kebaikan, bukannya dengan benci atau marah, bermasam muka dan membiakkan sengketa, hanya kerana mahu menjadi jaguh semata-mata.

Aman dan sentosa, ceria dan mesra, bermula dari diri kita. Jika kita jenis yang tidak suka cari masalah, hidup kita juga tidak banyak masalah dan begitulah sebaliknya.

Orang mudah berkira contohnya hutang RM1 tidak diambil kira sesama ahli keluarga, suka membantu atau ringan tulang, ramah (bertegur sapa) sesama ahli keluarga dan saudara-mara, maka hidupnya berasa terbuka dan lapang, ertinya tidak berasa sempit atau tercungap-cungap. Bahagia kan!