Satu daripada amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam ialah bersedekah, yakni memberikan sesuatu kepada yang lain, sama ada memberi wang atau berupa barangan.
Malah menyumbangkan usaha dan tenaga juga satu sedekah. Senyum juga sedekah, walaupun tak sedikit yang mempamerkan wajah bengis, masam mencuka.
Tiada pihak yang menyangkal kemuliaan amalan bersedekah, walaupun dalam komuniti orang bukan Muslim – menjadikannya amalan terpuji bersifat universal – membantu golongan memerlukan, walaupun ketika mana sesetengah orang berasa sangat pahit untuk bersedekah.
Ya, ada orang memandang sahaja kepada orang yang meminta sedekah atau orang lain yang memberikan sedekah, sedangkan ia amalan baik harus dicontohi.
Bersedekah tidak susah, tetapi untuk menghulurkannya terasa seperti pahit di bibir mulut, hati berasa ‘kupit’ (istilah dalam dialek Kelantan bermaksud kedekut), bimbang harta atau wang yang ada habis atau luak (istilah dialek Kelantan bermaksud berkurang) – berasa rugi.
Ini tak kira siapa – bersongkok, berjubah atau berkereta mewah, cakap melangit, ketawa berdekah-dekah, contohnya – padahal di dalamnya terangkum ganjaran besar daripada Allah – bukan tak tahu, tapi buat-buat tak tahu.
Justeru mengapa berasa pahit, apakah kerana tidak terbiasa atau hati keras membatu? Jika begitu, biasa-biasakan diri dengan perkara mulia ini, usaha melembutkan hati dengan hal yang baik-baik – barulah hidup berasa lebih bermakna, sentosa bersama – selari dengan amalan calon syurga.
Kata Abu Laits yang dikutip daripada sebuah bukunya, bersedekahlah dengan sesuatu, sedikit atau banyak, kerana sedekah mempunyai sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima di akhirat.
Adapun lima di dunia ialah:
- Membersihkan harta kekayaan.
- Membersihkan badan daripada dosa.
- Menolak bala dan penyakit.
- Menyenangkan hati orang miskin, sedangkan sebaik-baik amalan menyenangkan orang Mukmin.
- Menjadikan berkat dalam harta dan luas rezeki.
Lima di akhirat:
- Sedekah menjadi naungan baginya.
- Sedekah akan meringankan hisab perhitungan amalannya.
- Memberatkan timbangan amalan kebaikan.
- Memudahkan menyeberang di atas sirat.
- Bertambah darjat di syurga.
Kemudian, dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 438, menyebutkan hadis diriwayatkan oleh Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah sedekah mengurangkan daripada harta, dan tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba dengan sifat pemaafnya melainkan kemuliaan, dan tidaklah bersikap tawaduk seorang kerana Allah melainkan diangkatnya (darjat) oleh Allah.

