Sekarang musim bola sepak Piala Dunia. Orang meminati bola tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya – stadium sesak, sorakan bergemuruh.
Mereka kejauhan dan tidak berkesempatan ke stadium, mengikutinya di saluran televisyen, medium Internet atau setidak-tidaknya bertanya khabar kepada sahabat: Amerika (USA) lawan Paraguay, berapa? 4-1!
Kita memberikan jawapan tepat. Sebelum itu, kita cuba mengingatinya terlebih dulu – jika daya akal pantas, maka pantas mulut kita menuturkannya.
Jawapan diberikan dengan teliti, supaya ia tepat, tidak dipersoalkan bahkan dipercayai, tidak mengelirukan orang, sekali gus mengelakkan perselisihan.
Sikap teliti seperti ini bagus jika kita menerapkannya dalam kehidupan seharian kita. Apabila berbicara, kita teliti apa yang hendak dan sedang dilafazkan.
Kita fikir dengan cermat, sebelum menuturkan suatu perkataan. Ada baiknya fikir juga ketika dan selepasnya, iaitu dalam konteks analisis (muhasabah) singkat mengenai bicara kita, supaya jika ada silap, kita dapat mengakui kesilapan itu, meminta maaf dan memperbetulkannya.
Setiap orang ada silap, bezanya besar atau kecil, sedikit atau banyak. Namun sifir itu tidak harus dijadikan alasan untuk kita terus melakukan kesilapan.
Kita mesti berusaha membentuk, mengasah atau mengasuh, melentur ataupun mendidik diri supaya dapat melakukan sesuatu itu secara betul, tepat atau sifatnya sempurna.
Hal ini terutamanya apabila membabitkan ibadat kepada Allah dan urusan kita dengan sesama manusia iaitu orang ramai.
Ibadat kepada Allah, contohnya solat mesti tepat mengikut Nabi Allah, Muhammad SAW. Solat mengikut orang selain Nabi SAW tidak diterima oleh-Nya.
Begitu juga berurusan dengan sesama manusia, jual beli sebagai contoh, mesti tepat, adil (tidak menzalimi) dan saling reda-meredainya.
Contoh, jika harga jualan RM1.95, maka hendaklah dipulangkan bakinya 5 sen itu, melainkan diredakan atau dihalalkan oleh pembeli, seperti dia berkata “tak apalah baki itu!”
Hal ini kelihatan remeh tapi ada implikasinya, sama ada pada penjual ataupun pembeli.
Pada pembeli, contoh, dia tidak berpuas hati apabila selalu bakinya yang 5 sen itu tidak dipulangkan, maka dia tidak lagi ke kedai terbabit.
Jika dia ulang ke kedai terbabit, dia mungkin mengelakkan daripada terjerat dalam keadaan itu, seperti membeli dua barang serupa sekali gus.
Mungkin juga jika tak tahan sabar, dia selamba kata terang-terang kepada penjual terbabit. Sifat kata-kata itu bergantung kepada individu terbabit.
Di pihak penjual, jika 5 sen, 4 sen, dan sebagainya, jika dihitung-hitung jumlah perolehan harian, tak sedikit untung dijana di luar jualan itu – bergantung pada jumlah transaksi. Contohnya, 4 sen atau ditulis RM0.04, didarab dengan 1,000 kali transaksi sehari, maka jumlahnya RM40 dijana di luar daripada harga sebenar jualan. Dan RM40 didarab dengan 360 hari contohnya, maka jumlah besarnya ialah RM14,400.
Apakah yang hendak dihukumkan berkenaan hasil itu? Ia halal jika dihalalkan, atau diredakan oleh pembeli seperti disebutkan di atas. Tapi bagaimana jika pembeli tidak meredainya, bahkan pembeli tak tahu pun mengenainya.
Berhubung dengan hal ini, kita teringat juga istilah ‘penggenapan’ – sejauh mana ia selari dengan Islam? Jangan kerana 4 sen, 3 sen, yang dikaut melalui sistem dipopularkan, maka kita tersekat di neraka.
Penulis secara peribadi berpandangan hal sebegini meletakkan kita dalam kekeliruan, yang boleh menggugat hidup sentosa kita.
Orang dulu-dulu tak belajar tinggi pun, tapi hidup mereka berkat, aman dan bahagia, sebab mereka tidak mengada-adakan sesuatu yang baharu lagi mengelirukan.
Bagi penjaja, hasil untuk seisi keluarga, adalah hasil yang benar-benar halal – bersifat muktamad. Jika berniaga, maka hasil, laba daripada berniaga (bukannya hasil dari ruang sisinya).
Di kedai runcit, harga RM0.99 dan sepertinya tak jumpa dulu. Orang dulu-dulu tak menetapkan harga begitu – dan kalaupun ada (mungkin pada masa dan lokasi berbeza) sangat jarang, sebab menyusahkan urusan jual-beli.
Tahun, tahun berlalu, selepas itu muncul penetapan harga seumpama itu, tapi pihak penjual turut menyediakan syiling 5 sen, 1 sen dalam kuantiti banyak, untuk baki kepada pembeli. Dan jika kedai runcit kehabisan atau tiada syiling kecil itu, diminta olehnya dengan pembeli untuk tukar kepada sebiji dua gula-gula. Itu OK, sebab reda-meredainya.
Masih dalam semangat Piala Dunia.
Kita, biasanya mengambil tahu, mengambil ingat mengenai jadual perlawanannya. Pasukan mana, jam berapa, malam atau siang.
Malah kita siap ada analisis dalam kepala…itu biasa bagi peminatnya. Tika menonton, kita siap kritik lagi pemain dan corak permainan mereka, seperti kita lebih berbisa daripada mereka.
Kadang-kadang, alah selalu kita bersiap sedia dari awal, sebab bimbang terlepas permainan mereka, secara solo atau bersama teman-teman.
Sikap bersiap sedia ini, cantik jika diterapkan pada amalan kita kepada Allah.
Ini tidak, Amerika lawan Paraguay, cepat kita memposisikan diri di depan TV, sebelum mereka bermain lagi.
Tetapi sembahyang (orang Melayu dulu sebut sembahyang, sekarang saja dipopularkan istilah Arabnya solat), ‘slow’ kita, selalu lewat malah ada (masa atau orang) tak solat, malas, berat. Mengapa begitu?
Sahabat…piala dunia bermusim, datang dan pergi, sifatnya sementara, sekadar hiburan dunia semata-mata.
Ibadat kepada Allah sifatnya abadi, ganjaran, seronoknya berganda-ganda lebih bernilai daripada seronok duniawi (yang bersifat dunia).
Hidup ini, apabila kita lebih kepada duniawi, maka bahaya menanti buat kita. Ini bukan ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya sebagai ikrar pada diri sendiri.
Sekurang-kurangnya kita seimbangkan antara dunia dan akhirat. Jika bola, kita boleh bersiap sedia awal, maka solat pun boleh…kita wuduk siap-siap untuk menyambut waktunya…alangkah manisnya iman, kan!
Bahkan, melebihkan akhirat itu lebih selamat. Bola, contohnya tengok sekali-sekala, kadang-kadang dari awal, kadang tu di minit-minit akhir, siaran ulangan…tak mengapalah…tapi solat tak pernah “miss” (tak ketinggalan) awal waktu. Hebat! Tapi jangan berasa hebat.

